Tag Archives: Tun M menyeru rakyat berjimat bersama kerajaan Pakatan Harapan

Tun M menyeru rakyat berjimat bersama kerajaan Pakatan Harapan

Dalam perutusan Hari Raya yang disiarkan secara secara langsung di stesen RTM 1 malam ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat agar mengambil pendekatan berjimat bersama kerajaan, sambil menambah yang ia akan “menghasilkan kesejahteraan hidup kita di masa hadapan”. Pengerusi Pakatan Harapan ini juga menyeru rakyat supaya bersabar dengan langkah penjimatan yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mengurangkan hutang negara.

“Kami berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul. Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil, dan wang yang tidak halal tidak lagi boleh diagih kepada rakyat untuk menawan hati,” kata Tun Dr Mahathir. Beliau berkata selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH terkejut apabila mendapati hutang negara, termasuk yang dijamin kerajaan, mencecah RM1 trilion. Tun Dr Mahathir, yang baru pulang daripada lawatan kerja di Jepun, berkata Malaysia mampu mengatasi kesulitan kewangan dengan semangat yang kuat. “Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan-rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah,” beliau berucap. Tanpa menyebut mana-mana negara, beliau berkata demokrasi yang diharapkan tidak tercapai apabila perang saudara berlaku dan menghancurkan negara itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Malaysia akan mencapai kejayaan yang tidak disangka, hasil lawatan kerja beliau ke Jepun. Beliau berkata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe telah memberikannya masa yang cukup panjang untuk mendengar masalah yang dihadapi di Malaysia. “Dan dia memberi pengakuan bahawa setakat yang dia mampu, dia akan tolong, ” katanya menerusi catatan Twitternya @chedetofficial, semalam. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, projek kereta nasional baharu akan membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia. Menurut Perdana Menteri, ketika beliau mula melaksanakan projek kereta Proton pada tahun 1980-an, Malaysia tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai cara membuat kereta tetapi secara beransur-ansur memperoleh pengetahuan untuk mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran selama lebih daripada dua dekad. “Malangnya Proton telah dijual kepada orang China yang telah diberi hak untuk menguruskan Proton, jadi Malaysia sekarang tidak memanfaatkan kemahiran terbabit,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jepun pada Selasa.

Dr Mahathir, yang pertama kali mendedahkan rancangan untuk inisiatif nasional baharu bagi Malaysia di Persidangan Nikkei berkata, terdapat keperluan untuk mewujudkan peluang bagi jurutera Malaysia melakukan sesuatu dengan sendiri di Malaysia. Beliau menegaskan bahawa Proton tidak lagi merupakan kereta nasional. Dr Mahathir berkata agak banyak syarikat kejuruteraan Malaysia terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat membekalkan barangan mengikut permintaan pemilik atau pengurus baharu Proton. Menjelang Hari Raya, Tun Dr Mahathir juga mengingatkan rakyat Malaysia yang mereka masih boleh meraikan perayaan dengan selesa selepas kerajaan bertukar kepimpinan secara aman pada 9 Mei. Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidulfitri, memohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya dan menggesa rakyat yang bukan beragama Islam agar turut bersama-sama meraikan perayaan itu dengan rakan mereka yang beragama Islam.

“Marilah kita bersama-sama memupuk semangat bersatu padu antara kaum di negara ini sempena Raya Aidilfitri,” katanya. – 14 Jun, 2018.