Category Archives: TIPS

Terkini : PLUS melanjutkan Diskaun tol 50% sehingga 4 pagi 15 Jun (Jumaat)

(14-06-2018)

UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad malam ini. “Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Jumaat, 15 Jun 2018,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan. Bagi memastikan para pengguna rangkaian Lebuhraya PLUS, termasuk LPT2 dapat pulang berhari raya Aidilfitri dengan selamat, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini melanjutkan tempoh penawaran diskaun tol 50 peratus sehingga jam 4 pagi pada 15 Jun (Jumaat). Lanjutan tempoh penawaran diskaun itu merangkumi kesemua transaksi tol kecuali bagi kenderaan Kelas 2 dan 3 di semua rangkaian lebuh raya kendalian syarikat konsesi itu. Bagaimanapun, lanjutan tempoh penawaran diskaun itu tidak melibatkan transaksi tol Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor, menurut kenyataan itu. PLUS, dalam kenyataannya hari ini, berkata lanjutan tawaran itu bagi memastikan para pengguna dapat peluang untuk menyambut Aidilfitri dengan selamat. PLUS menghargai sokongan berterusan para pengguna terhadap perkhidmatan rangkaian lebuh rayanya dan ingin menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri mereka.

PLUS juga menasihatkan supaya orang ramai memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi had laju serta arahan pihak berkuasa.